Sunday, January 2, 2011

mana satu yg boleh ikut?pakar UIA atau UKM


SHAH ALAM 1 JAN : Pakar Undang-Undang Profesor Dr Aziz Bari menegaskan Putrajaya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menerima dan memberi perkenan kepada calon kerajaan negeri Selangor untuk mengisi jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Beliau berkata Undang-Undang Tubuh Negeri jelas menyebelahi kerajaan negeri dalam perlantikan jawatan itu.

"Kalau kita lihat pindaan yang dibuat oleh pentadbiran Tun Mahathir Mohamad tahun 1994, menimbangkan nasihat bermaksud menerima nasihat. Jadi undang-undang sebenar adalah sultan perlu menerima dan mendengar Menteri Besar," katanya.

Aziz menjelaskan krisis hari ini berlaku ekoran kerakusan Umno-Barisan Nasional meminda Perlembagaan dan memperkasakan kedudukan Eksekutif dengan menghadkan kuasa Raja-Raja Melayu.

Berdasarkan pengamatannya, Aziz berkata undang-undang jelas sekali memihak kepada Kerajaan Negeri Selangor dalam isu ini.

"Samada pindaan yang dibuat itu tidak sah, ataupun kuasasultan yang menjadi pemutus. kedua-dua perkara ini tidak menguntungkan Umno. kalau melihat kepada pindaan itu, ia menunjukkan tan sri khalid adalah betul," katanya.

Pakar perlembagaan ini menjelaskan Undang-Undang Tubuh Negeri telah meletakkan amalan yang sepatutnya dipatuhi oleh semua pihak berkenaan.

Artikel 52 (4) menegaskan Setiausaha Kerajaan Negeri harus mengangkat sumpah di hadapan Menteri Besar Selangor. Ia tidak menyatakan individu berkenaan harus mengangkat sumpah di hadapan Sultan.

"Kuasa melantik semenangnya di tangan Sultan, tetapi Sultanperlu meneliti cadangan dari suruhanjaya berkenaan. Sebelum itu,Sultan harus mendengar nasihat menteri besar," katanya.

"Kerajaan pusat tidak ada peranan atau kuasa. apa yang disebutkan oleh Datuk Khir Toyo mungkin apa yang berlaku di zaman Umno sahaja..yang mungkin formaliti sahaja. tetapi kalau berdasarkan perlembagaan, kerajaan persekutuan tidak mempunyai peranan," katanya lagi.

Aziz juga menyokong gesaan supaya wakil-wakil rakyat Selangormengadakan sidang tergempar membantah campurtangan Kerajaan Pusat.

"Ya ia wajar kerana kalau kita lihat Parlimen meluluskan usulprihatin ke atas isu Sultan Johor pukul coach hoki. Jadi tidak adamasalah sekiranya sidang khas diadakan dan membincangkan situasi yang berlaku ini," katanya lagi.


Ini pula pakar dari UKM
KHUSRIN-INTEGRITI
PELANTIKAN KHUSRIN TIDAK PERLU DIRAGUI - PENGANALISIS POLITIK

Pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor tidak perlu diragui oleh kerajaan negeri itu kerana penjawat awam sentiasa dituntut supaya berintegriti dan profesional dalam melaksanakan tugas mereka, menurut seorang penganalisis politik tempatan.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Nizamuddin berkata dakwaan kerajaan Selangor kononnya pelantikan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor itu dibuat atas kepentingan politik Barisan Nasional (BN) hanyalah intepretasi yang tidak boleh dijadikan asas.

"Dakwaan tersebut kurang berasas kerana Mohd Khusrin belum memulakan tugas, malah lantikan tersebut juga hanya akan berkuat kuasa mulai 1 Jan ini. Tentunya andaian seperti itu tidak boleh digunakan," katanya ketika dihubungi.

Oleh itu, beliau berkata rasa tidak puas hati kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berhubung perkara itu tidak berasas.

Katanya, kerajaan PKR Selangor sebenarnya berasa tercabar kerana lantikan itu dibuat di luar pengetahuan mereka.

Kerajaan PKR Selangor pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini mendakwa pelantikan Mohd Khusrin, yang mendapat perkenan Sultan Selangor, tidak muktamad kerana tidak dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Ahmad Nizamuddin berkata Abdul Khalid perlu sedar keadaan sebegini biasa berlaku apabila negeri dikuasai parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.

Katanya, pelantikan itu tidak akan membawa masalah kerana kerajaan Persekutuan semestinya telah terlebih dahulu memikirkan kesan baik dan buruk tindakan tersebut.

Beliau percaya sebagai penjawat awam yang berintegriti, Mohd Khusrin akan mengutamakan amalan profesional ketika menjalankan tugas.

"Jika berpegang kepada elemen profesional, bebas dan amalan pengasingan kuasa, sepatutnya pelantikan ini tidak menimbulkan masalah," katanya.

Fasal 52 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 menyebut jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri perlu diwujudkan, dan perlantikan ke jawatan ini hendaklah dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan, dari kalangan anggota mana-mana perkhidmatan awam yang relevan.

Pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim pula berkata lantikan tersebut tidak boleh dihalang oleh kerajaan negeri, sekiranya ia dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata sekiranya kerajaan PKR Selangor tidak berpuas hati dengan calon lantikan kerajaan pusat, mereka harus sedar perkara itu hanya boleh diselesaikan di mahkamah.

Sementara itu, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia berkata selepas 53 tahun kemerdekaan, penjawat awam begitu berkemampuan dalam soal pentadbiran sehingga menjadi contoh kepada negara membangun lain.

Presidennya, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawan Teh berkata walau apapun keputusan Pilihan Raya Umum 8 Mac, 2008, penjawat awam terus memastikan jentera kerajaan berjalan lancar, sedangkan pada masa sama, kebanyakan ahli politik resah dengan apa yang bakal berlaku apabila pentadbiran empat daripada 13 negeri bertukar tangan.

"Ketika pergolakan dan perebutan kuasa politik di Perak, penjawat awam tidak kisah dan meneruskan tugas mereka seperti biasa.

"Tidak dapat dibayangkan apa akan berlaku sekiranya penjawat awam menyokong permainan politik mana-mana parti dan menyertai usaha merebut kuasa," katanya.

Beliau berkata ahli politik silih berganti, sebaliknya penjawat awam mengekalkan taat setia mereka terhadap Yang di-Pertuan Agong dan negara.

Sehubungan itu, Wan Mahmood berharap penjawat awam tidak akan terpengaruh dengan 'umpan politik' mana-mana parti dan ahli politik juga perlu sedar bahawa adalah penting budaya perkhidmatan awam sedia ada tidak diganggu.

No comments:

Post a Comment