Monday, March 28, 2011

menteri agama pun double standard-kes fitnah tak bagi qazaf,pluralisma nak plak


Menteri Agama Umno mahu dakwa Anwar isu pluralisme tapi halang qazaf

KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Jamil Khir Baharom mahu mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya menyebar fahaman pluralisme agama menunjukkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak konsisten dalam menegakkan pelaksanaan undang-undang Islam.

Sedangkan, Ketua Umum KEADILAN itu berkata, Jamil sebelum ini pernah menghalang pelaksanaan qazaf dalam kes melibatkan dakwaan Saiful Bukhari Azlan terhadap Anwar.

“Dia (Jamil) tidak konsisten. Dalam kes Qazaf dia yang halang (saya dari membawa penuduh ke muka pengadilan).

“(Tapi) Menteri Agama Umno mahu siasat dan dakwa saya sebar fahaman pluralisme berdasarkan ucapan di London School of Economics, tahun lalu. Ini tidak bertanggungjawab dan mempamer keangkuhan dia,” kata Anwar.

Jamil bersama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan memfail bantahan sewaktu Anwar mahu mengheret Saiful Bukhari Azlan ke Mahkamah Syariah kerana gagal mengemukakan empat saksi lelaki mengikut hukum syariah apabila membuat tuduhan liwat.

Andainya permohonan itu tidak dihalang oleh Jamil, Saiful berhadapan kemungkinan dipenjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut Utusan Malaysia, Jamil berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini menjalankan siasatan terhadap dakwaan isu pluralisme yang melibatkan Anwar.

Bercakap di luar perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Anwar berkata, kenyataan terbaru Jamil dalam itu menunjukkan menteri berkenaan, tidak membaca kenyataan beliau ketika menyampaikan syarahan di universiti terkenal itu.

Beliau berkata, pluaralisme yang dibincang pada masa itu adalah fahaman yang mempromosi toleransi dan berbaik-baik antara agama dalam dunia.

“Dia patut baca kenyataan saya bahawa fahaman pluralisme ini bukan maknanya kita menghina atau merendahkan kekuatan Islam.

“Kekuatan Islam di Malaysia dan rantau Asia adalah kerana mengamal sikap yang cukup toleran, sederhana dan mengambil kira hubungan baik dengan semua agama,” katanya.

Lantaran itu, Anwar turut mengambil kira tokoh pemikir agama lain dalam wacana tanpa membelakangkan beberapa ulama Islam tersohor baik zaman dahulu mahupun era moden.

“Sebab itu dalam ucapan saya, saya bangkitkan pandangan Dante, pandangan beberapa pemikir Kristian, Hindu dan Sikh.

“Pada masa sama, saya juga sebut dalam tradisi ilmu Islam, ada pandangan seperti Al-Farabi. Kalau ulama zaman moden, ada Syed Hussein Nasr – yang merupakan sarjana Islam yang turut popular dengan pandangan pluralisme atau majmuk.

“Kepercayaan bahawa nilai murni dalam agama lain juga perlu dirai, akan menyebabkan umat Islam lebih mulia dan dihormati. Ia sedikit pun tidak merendahkan kedudukan Islam,” katanya

No comments:

Post a Comment