Kewujudan PERKASA itu sendiri yang cuba menjadi alternatif kepada perjuangan UMNO apabila parti itu gagal memainkan peranan utamanya semakin banyak kelihatan. Rasa muak rakyat kepada politik UMNO yang ditunjangi oleh gejala politik wang dan kelemahan idea gagasan besar menyebabkan agenda pembaharuan negara tidak berjalan dengan lancarnya. Yang pasti,PERKASA adalah perkakas kepada UMNO jika dilihat mirip dan modus operandi apa yang kononnya diperjuangkan. Justeru rakyat diharap tidak mudah terperangkap dengan agenda mereka kerana tujuan dan motif perjuangan mereka amat kabur dan mengelirukan.
Kita mempertikaikan apa motif PERKASA yang hanya lantang di negeri-negeri Pakatan Rakyat tetapi membisu,lesu dan kaku apabila berada di negeri-negeri di bawah kerajaan UMNO/Barisan Nasional. Ke manakah suara pembelaan PERKASA apabila melihat nasib Bahasa Melayu semakin dipinggirkan ?. Ke manakah pembelaan PERKASA tatkala undang-undang Islam dipermain-mainkan apabila Mahkamah Syariah di anggap tidak setaraf dengan Mahkamah Sivil ?. Ke manakah suara-suara vokal PERKASA apabila pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO yang berbangsa Melayu terpalit dengan pelbagai skandal moral, rasuah dan penyelewengan kuasa?.
Justeru,AMK Selangor sekali lagi mengingatkan agar rakyat bijak dan pintar menilai agenda sempit yang di bawa oleh PERKASA dari masa ke semasa. Mereka berjuang kerana apa dan untuk apa sedangkan sudah sekian lama hak dan keistimewaan orang-orang Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sejak sekian lama. Bangsa Melayu kian terpinggir dalam dunia persaingan sejagat berpunca antara lain kegagalan UMNO sendiri selaku pentadbir negara selama 50 tahun ini gagal menterjemahkan Islam sebagai cara hidup atau ‘Ad-Deen’ serta tidak melaksanakan ajaran Al-Quran dan Sunnah sepenuhnya di negara ini.
Akhirnya, kita menggesa agar suara-suara vokal dan lantang PERKASA juga hebat di negeri-negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional. Isu pembelaan Melayu tidak boleh bersifat selektif yang didakwa kononnya hanya wujud di negeri-negeri Pakatan Rakyat. Malahan perlu hebat dan gah juga suara-suara pembelaan kepada bangsa-bangsa lain. Ingatlah jika Melayu dan Islam adalah asas kepada hubungan akrab persaudaraan sebangsa dan seagama, berlainan agama dan bangsa adalah asas hubungan akrab persaudaraan sesama manusia pula.
No comments:
Post a Comment