Tuesday, September 15, 2009

Kroni Rosmah Terima Projek Bas PLKN?

Sebuah syarikat milik individu yang mempunyai pertalian rapat dengan Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri Najib Razak, dikatakan bakal diberi kontrak mewah membekalkan 400 unit bas untuk Program Khidmat Latihan Negara (PLKN).

Bas-bas itu dikatakan akan dimport dari China dan dijangka memintas kepentingan pengusaha bas tempatan yang setia menampung keperluan pengangkutan peserta PLKN, sejak ia dilancarkan pada tahun 2004.

Bas-bas itu dikatakan ditempah daripada syarikat Dong Feng di China dan akan dijual kepada kerajaan pada harga RM600,000 sebuah - hampir dua kali ganda berbanding harga asal.

Difahamkan, Kementerian Kewangan yang diterajui oleh Najib mengarahkan Syarikat-syarikat Kaitan Kerajaan atau GLC untuk menyediakan dana kepada syarikat pembekal berkenaan untuk membawa masuk bas-bas terbabit dari China.

Ini kerana syarikat pembekal yang dikaitkan dengan isteri Najib itu hanya mempunyai modal berbayar RM2 pada masa ini tetapi akan mengaut keuntungan puluhan juta ringgit.

Bas 40 penumpang itu adalah mirip bas Syarikat Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL), yang beberapa ratus buah tersadai di Rawang dan Selayang.

Sumber-sumber memberitahu Suara Keadilan bahawa kerajaan akan memanggil tender rasmi untuk kontrak itu pada hujung tahun ini untuk memberi gambaran bahawa urusniaga berkenaan dijalankan secara telus.

Hakikatnya ialah segala keputusan mengenai kontrak itu sudahpun dibuat. Malah sebuah agensi perkapalan juga telah dikenalpasti oleh Kementerian Kewangan bagi menguruskan kerja-kerja logistik termasuk membawa masuk bas berkenaan dari China.

Sumber itu memberitahu Suara Keadilan, dana bagi pembelian bas berkenaan oleh syarikat terbabit akan dibiayai oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) atau lebih dikenali sebagai 'Prasarana'.

Sumber juga mendakwa, Prasarana telah 'diarah' oleh pihak atasan untuk menyediakan dana itu bagi membeli dan membekal bas berkenaan atas nama syarikat yang dikaitkan dengan Rosmah.

Prasarana adalah syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang didaftarkan pada 11 Ogos 1998 untuk mengambil alih projek-projek pengangkutan yang gagal, dengan kelulusan kerajaan.

Syarikat itu dipertanggungjawabkan untuk menyediakan sistem pengangkutan di Lembah Klang dan Pulau Pinang dan mengambil alih bebrapa syarikat pengangkutan lain seperti Sistem Transit Ringan LRT, PUTRA dan juga STAR.

Dalam pada itu, seeorang pengusaha pengangkutan yang berpengalaman dalam pembinaan bas berkata pemilihan bas buatan China menimbulkan banyak persoalan.

Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, bas buatan China mempunyai banyak masalah teknikal selain tidak efisyen manakala kos penyenggarannya tinggi.

"Kita boleh lihat sendiri apa yang berlaku kepada ratusan bas jenis sama milik Rapid KL yang tersadai hingga menjadi besi buruk di merata Lembah Kelang. Adakah kita mahu perkara yang sama berulang?" soal beliau.

"Bagaimana pula keselamatan atau kesejahteraan anak -anak muda kita yang bakal dihantar ke kem-kem PKLN di seluruh negara menggunakan bas-bas ini?" tambahnya. - Suara Keadilan

No comments:

Post a Comment