Saturday, September 12, 2009

“separation of powers”, iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman

Pegawai Kerajaan mengikut KSN

Wawancara Tan Sri Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam Malaysiakini patut dibaca oleh semua pegawai kerajaan berpangkat tinggi termasuk hakim-hakim yang akan bersara tidak lama lagi. Menurut KSN, 99 peratus pegawai-pegawai kerajaan tidak “political” ; kalau pun ada persepsi mereka memihak, mereka hanya menjalankan tugas mereka. Mereka bersikap profesional dan standard mereka standing dengan perkhidmatan awam negara-negara lain yang maju, kata Tan Sri Sidek Hassan. Mengikut penjelasannya, ini berterti pegawai kerajaan nampaknya tidak takut kepada arahan UMNO atau PM. Mereka penuh integriti maka mereka tidak akan membuat sesuatu yang salah dari segi peraturan pejabat atau meyimpang dari kepentigan negara. Itulah agaknya maksud Tan Sri yang budiman itu.

Nampak nya , para pegawai kerajaan naik pangkat secara profesional dan atas kewibawaan mereka sendiri, dan bukannya kerana Perdana Menteri atau mana-mana Menteri UMNO yang menaikkan pangkat mereka. Wawancara KSN itu adalah salah satu cara BN mahu memperbaiki imej mereka, maka KSN juga perlu bersuara mempertahankan BN. Kesian Tan Sri Sidek, dia orang yang baik tetapi terpaksa juga ikut perintah. Tak salah jika pembaca blog saya mahu terima kata-kata Tan Sri Sidek sebagai yang benar; tetapi setahu saya, hakikatnya pegawai-pegawai tertinggi kerajaan naik pangkat kerana sanggup ikut arahan pimpinan politik tertinggi. Malah mereka dipilih kerana sesuai dengan agenda UMNO atau agenda Perdana Menteri. Kalau mereka benar-benar berwibawa, cekap dan amanah serta 100 peratus profesional, itu tidak memadai dalam perkhidmatan awam. Mereka yang jujur dan tegas tidak akan naik ke tahap yang tertinggi kalau mereka tak sanggup “play ball” dengan pihak berkuasa politik.

Kita hairan dengan beberapa pegawai Polis yang benar-benar profesional dan telah bersara gagal menjadi Ketua Polis Negara walau pun mereka ini lebih kanan atau “senior” dari yang ada sekarang. Kita juga hairan mengapa hakim-hakim yang pintar dan ada integriti tidak naik pangkat menjadi Ketua Hakim Negara. Dalam jawatan tinggi yang lain (dari pengalaman saya), Badan Perhubungan UMNO Negeri dapat memastikan kenaikan pangkat sebagai Ketua Pengarah tertentu setelah UMNO puas hati dengan pendirian politik orang yang mahu mereka angkat sebagai Ketua Pengarah itu. Banyak lagi kes-kes naik pangkat dibuat semata-mata atas kuatnya lobi UMNO dan Barisan Nasional. Saya juga tahu ramai pegawai berada dalam keadaan serba salah bila terpaksa menjalankan tugas kerana diarah olih orang kuat politik.Usahlah kita cuba menegak benang yang basah .

Mengenai kejayaan Malaysia yang disebut oleh Tan Sri KSN, saya setuju bahawa pada suatu masa dulu perkhidmatan awam kita adalah antara yang terbaik. Inilah yang menjadi pembina pembangunan negara. Tapi pada masa itu, perkhidmatan awam kita lebih profesional dan tak takut kepada Menteri. Mereka mempunyai takrif yang sebenar tentang apa itu “profesionalisme” dan apa itu “integriti”. Dulu, yang terbaik dari perkhidmatan awam lah yang naik pangkat. Mereka lebih berupaya memberi sumbangan kepada negara dengan pendekatan yang sedemikian. Budaya mengampu amat kurang sekali. Tak perlu main golf dengan Menteri . Kini keadaan berubah.Usah lah kita bandingkan dengan Singapura. Di sana mereka lebih berjaya membantu negara membangun walau pun tak ada minyak, kelapa sawit, balak, getah dan sebagainya. Kerana perkhidmatan awam di sana tahu membezakan kepentingan negara dengan kepentingan parti memerintah. Di Malaysia, kepentingan negara dan UMNO dianggap sama.

Tan Sri KSN juga berkata tidak ada masalah kalau selepas bersara pegawai-pegawai tinggi kerajaan terus berkhidmat dengan syarikat-syarikat besar; tidak salah atau aneh jika Ketua Hakim Negara mengadi pengerusi syarikat gergasi’ .Dan tidak salah kalau pegawai tertinggi polis juga memegang jawatan tinggi dalam syarikat swasta selepas bersara – walau pun syarikat-syarikat ini ada kaitan langsung dengan kementerian atau agensi yang mereka pimpin dulu. Inilah sindrom baru dalam 1Malaysia. Tidak ada lagi perkara yang salah, tidak berpatutan atau “unethical”. Ia hanya menjadi kesalahan kalau UMNO dan BN tidak mengizinkannya.

Saya amat bimbang dengan gejala ini kerana pada suatu masa dulu, regim komunis dan fasis telah pun menggunakan pendekatan yang sama, iaitu kepentingan parti komunis dan fasis dianggap sama dengan kepentingan negara. Jadi berlakulah keadaan di mana syarat utama untuk mendapat pekerjaan atau naik pangkat adalah berasaskan keahlian dalam parti dan lobi dalam parti. Dengan itu, banyak negara komunis dan fasis runtuh kerana negara gagal dibangunkan oleh perkhidmatan awam mereka yang lebih mementingkan parti, dan bukannya rakyat.

Sebab itulah dalam Negara demokrasi saperti kita sepatutnya ada sistem atau “separation of powers”, iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman, untuk menjamin kuasa tidak tertumpu kapada orang tertentu sahaja. Dengan cara ini mereka yang terlayak tahu mereka ada peluang naik ka jawatan tertinggi. Sayangnya sistem yang bertujuan untuk membasmi kezaliman dan penyelewengan ini tidak lagi diamalkan oleh kerajaan UMNO dan BN. Gelap masa depan kita jika perkhidmatan awam gagal melaksanakan tugas untuk rakyat dan negara. Ini kerana kakitangan dan pegawai kerajaan yang jujur, ikhlas, amanah dan bersih tidak akan bersemangat lagi untuk menjalankan tugas dengan adil dan saksama.

No comments:

Post a Comment