Tuesday, August 11, 2009

Pendirian Terhadap Replika DS Najib dan Jawapan Terhadap PKR





Saya yang berada di luar negara baru tahu tentang replika itu, walaupun PKR telah menempelak saya seperti yang disebut dalam Malaysiakini kerana tidak membantah. Saya konsisten menyatakan seperti mana replika DS Anwar tidak patut didirikan, maka begitu juga replika DS Najib. Selain daripada ia berunsur berlebih-lebihan memuja pemimpin atau mengampu, ia juga tidak memberikan apa-apa kekuatan kepada politik seseorang.

Pemimpin dinilai pada pemikiran, sikap dan kerjanya, bukan pada besar kecil patungnya. Apabila saya menegaskan konsistensi saya dalam perkara ini, saya ini melihat sejauh mana konsistensi pihak yang membolehkannya dahulu. Malaysiakini melaporkan bahawa PKR ingin mendengar pendirian saya, maka ini pendirian saya.

Saya pula ingin melihat pendirian mereka yang dahulu membolehkannya. Sepatutnya, mereka yang mempertahankannya untuk DS Anwar Ibrahim, mereka juga kena mempertahankannya kali ini. Mengapa ia berubah-ubah jika untuk orang lain, dan hanya dibolehkan untuk pemimpin sendiri sahaja. Itulah politik. “Haram itu untuk musuh, halal itu untuk diri sendiri, musuh semua salah, diri sendiri semua betul”.

Alhamdulillah, generasi muda mulai sedar, kebanyakan permainan politik ini hanya memperbodohkan masyarakat. Ramai anggota PKR datang dari lubuk yang sama, iaitu BN. Nama berbeza, mentaliti dan sikap belum tentu?!

-dr mohd asri, lampeter, uk.

No comments:

Post a Comment